Manuskrip untuk awal remaja.
Bab 1
Kelmarin, Ibnu Husayn, Beduk Logam dan Guhaguha sedang berbincang mengenai projek sains mereka. Setiap kumpulan dibahagi kepada tiga pelajar. Tiap-tiap kumpulan dikehendaki membuat kisah mengenai kembara ke Alam Fantasi. Mereka menamakan kumpulan mereka sebagai Malay Bond.
Sedang mereka berbincang, tiba-tiba mereka terdengar ada sesuatu objek jatuh di kawasan semak berhampiran mereka. Pada mulanya, Ibnu Husayn ingin menyiasat akan tetapi dilarang oleh Guhaguha.
“Jangan nak tunjuk berani, boleh tak? Benda tu berlaku di luar kawasan sekolah. Kalau terjadi apa-apa dekat kamu, siapa nak bertanggungjawab? Nanti kami berdua turut kena marah!” dalam fikiran Guhaguha, mungkin ada orang jahat ingin mencuri masuk ke dalam kawasan sekolah.
“Guha… kamu ni penakut lah! Alasan!” Ibnu Husayn menjeling tajam. Eee… Leceh betul berurusan dengan orang perempuan ni! Puan Amelia ni pun satu! Kenapa mesti nak ada orang perempuan di setiap kumpulan? Dah tak cantik nama kumpulan Malay Bond ni. Bond untuk orang lelaki! Ini dah kena tukar nama ke Malay Bonda! Ibnu Husayn menggerutu di dalam hati. Tidak puas hati selagi tidak mengetahui apakah bunyi yang telah menggangu fikirannya tika itu.
“Sudahlah! Itu bunyi buah durian yang jatuh. Bila musim buah durian, saya selalu dengar bunyi macam tu.” Beduk Logam mencelah. “Dah! Marilah kita bincang nak buat pengembaraan kita ni kat mana? Ke planet mana kita nak mendarat?”
Mendengar omelan Beduk Logam, kumpulan Malay Bond meneruskan perbincangan mereka. Dari satu planet ke satu planet mereka bercadang. Kemudian menukar pengambaran ke dunia fantasi yang lain. Di benak Ibnu Husayn, masih berlegar bunyi dentuman yang belum terhapus. Hati bagai dijentik-jentik menyuruh siasat. Dikuatkan azam, dipujuknya hati agar menyusul keesokan hari. Akhirnya mereka meninggalkan tempat sejurus loceng berbunyi. Masih belum ada ketetapan untuk memilih alam mistri mana?
Suasana pagi begitu indah untuk mengawali sebuah perjalanan persekolahan, pada keesokan harinya. Semua pelajar sedang berkumpul di dataran sekolah. Begitu tekun mendengar Pengetua Sekolah memberi taklimat serta beberapa nasihat kepada mereka. Kelihatan pelajar-pelajar mengangguk kepala masing-masing. Bersetuju dengan cadangan Pengetua Sekolah untuk mengadakan Majlis Penyampaian Sijil Keberanian Pelajar.
Beduk Logam atau nama sebenarnya Hafiz, melangkah menuju ke arah Ibnu Husayn sejurus selesai perhimpunan. Sambil beriringan mereka melangkah perlahan-lahan menuju ke kelas. Masing-masing mengambil tempat sementara menunggu guru kelas tiba.
“Saya nak siasat, benda yang jatuh dekat belakang taman sekolah kita ni.” Ibnu Husayn berbisik ke telinga Beduk Logam. “Marilah kita pergi sekarang, sebelum Puan Amelia masuk.” Ibnu Husayn mengajak.
Kelmarin, semasa pulang dari sekolah, mereka berdua masih memperkatakan tentang bunyi yang mereka dengar. Ibnu Husayn mengagak, objek yang jatuh itu adalah kapal angkasa makhluk asing. Beduk Logam pula menyatakan, bunyi berkenaan mungkin bunyi buah durian jatuh atau orang membuang sampah.
“Beduk! Kat belakang tu, mana ada pokok durian? Bunyi durian jatuh tak sekuat bunyi yang kita dengar tu. Saya pasti, itu mesti kapal angkasa makhluk asing terhempas.” Ibnu Husayn begitu yakin dengan kata-katanya.”
“Saya takut lah! Entah-entah benda tu milik orang jahat. Tentu dah tak ada sekarang ni.” Kata Beduk Logam lirih sambil menulis sesuatu di buku hariannya. “Tapi, awak pasti ke, benda tu kapal terbang makhluk asing?” tanyanya seolah percaya pada kata-kata kawannya itu, lalu meletakkan pen ke atas meja.
“Ya, saya pasti. Mendengar pada dentuman bunyinya saja saya dah pasti.” Ibnu Husayn meyakinkan rakannya yang tidak pasti itu. “Marilah! Kita beredar sekarang. Nanti Puan Amelia nampak. Tak berpeluang kita nak siasat.”
Beduk Logam memberi isyarat setuju. Masing-masing lalu bangun perlahan-lahan sambil memerhati kiri dan kanan. Guhaguha tidak kelihatan berada di dalam kelas. Mereka berdua amat gembira. Sementara pelajar-pelajar yang lain sedang sibuk berbual-bual. Ada yang sedang menconteng kertas dan ada yang membuat origami kapal terbang.
Sesampai Ibnu Husayn dan Beduk Logam di tangga, ada sepasang tangan sudah mendepa. Mengadang perjalanan mereka. Langkah mereka terhenti sejengkal sebelum mendekati sepasang tangan yang mengadang.
“Nak ke mana kelian?” Guhaguha atau nama sebenarnya Guhana Adila, menahan. Dia berdiri sambil mendepa tangan. Nama Guhaguha, dia sendiri yang memanggilnya.
“Kami nak ke tandas. Tepilah!” Beduk Logam merengus lalu menolak keras lengan Guhaguha. Datuknya yang menggelar namanya Beduk Logam kerana Hafiz dikatakan rajin membantu datuknya melebur besi untuk membuat parang. Nama Beduk Logam terus melekat.
Mereka berdua terus berlari menuruni anak tangga untuk menuju ke tempat yang dimaksudkan. Tanpa mereka memperdulikan pertanyaan Guhaguha. Beduk Logam mendahului Ibnu Husayn. Mereka terus berlari menuju ke belakang sekolah. Beduk Logam menoleh ke belakang, kesal kerana Guhaguha menghalang mereka tadi. Matanya meliar mengawasi kalau-kalau ada sesiapa yang terpandang akan mereka berdua.
“Macam mana kita nak keluar dari pagar sekolah ni?” Soal Ibnu Husayn kepada rakannya. Berhati-hati dia mencari jalan untuk menyusup keluar dari taman di belakang sekolah yang terlalu sepi itu.
“Ibnu! Ibnu! Ke mari!” Beduk Logam menggamit Ibnu Husayn. Dia berdiri di sebelah pohon mangga yang rendang, di bahagian paling hujung taman. Berdekatan dengan tembok.
Ibnu Husayn terus berlari mendapatkan Beduk Logam. Kelihatan Beduk Logam mendahului memanjat pokok mangga dan diikuti oleh Ibnu Husayn. Cara mudah untuk memanjat tembok, mereka harus memanjat pokok mangga terlebih dahulu. Dari dahan mangga mereka meniti perlahan-lahan hingga ke hujung dahan. Kemudian naik ke tembok dan seterusnya terjun.
“Tunggu! Tunggu saya!” kedengaran suara pelajar perempuan menahan.
“Guha? Argh! Kenapa kamu datang sini?” jerit Ibnu Husayn tetapi lirih. Dia bimbang, suara mereka dapat didengar oleh sesiapa yang hampir di taman berkenaan. Ketika itu, dia masih belum sempat hendak terjun.
“Guha nak ikut. Tunggu!” Guhaguha terus memanjat pokok mangga. Dia melakukan aksi yang sama seperti Beduk Logam dan Ibnu Husayn. “Guha tahu, kamu berdua nak siasat benda yang jatuh semalam tu kan?” soal Guhaguha. Dia mengensot-ensot meniti dahan untuk ke tembok.
“Cepatlah! Nanti ada orang lain nampak kita.” Ibnu Husayn mencapai tangan Guhaguha. Dia mempersilakan Guhaguha memanjat tembok.
“Apa lagi, terjunlah!” teriak Beduk Logam dari bawah. “Hey… buat apa kamu ikut? Nanti Puan Amelia bising. Kacoh lah kalau si mulut murai tu tahu kita tak ada di dalam kelas.”
“Puan Amelia tak datang. Sebab tu, Guha nak ikut kelian.” Balas Guhaguha lalu membuat terjunan.
Masing-masing bercakap lirih, bimbang didengari oleh sesiapa. Sejurus Ibnu Husayn mrndaratkan kaki ke tanah, kumpulan Malay Bond pun terus berlalu. Mencari arah objek yang jatuh kelmarin. Harap-harap bertemu kapal angkasa makhluk asing seperti yang diperkatakan oleh Ibnu Husayn. Dapatlah mereka mengarang cerita untuk dimuatkan ke dalam laporan. Begitulah azam mereka sejurus meninggalkan tembok serta sekolah mereka.
Sejauh dua ratus meter mereka merentas semak dan belukar. Pakaian sekolah mereka sudah mula comot. Lengan Beduk Logam kelihatan bercalar terkena duri. Guhaguha mengesat peluh yang berteritip di dahi. Sambil berjalan dia mengipas bahagian lehernya dengan menggunakan tudung yang dipakai.
“Panaslah!” Guhaguha bersuara.
“Itulah… siapa suruh ikut.” Beduk Logam menegur sambil menjeling ke arah Guhaguha.
“Biarlah dia ikut. Kita kan satu kumpulan. Mana tahu, kita temui kapal angkasa tu. Berpeluang juga kita mengembara ke angkasa.” Balas Ibnu Husayn lalu tersengih. Tadinya, dia juga turut tidak bersetuju. Akan tetapi, setelah difikirkan perlu ada semangat kerja berkumpulan, maka dia merelakan. “Marilah kita ke depan sikit.” Kumpulan Malay Bond terus mengorak langkah.
“Hei! Lihat sana tu!” Ibnu Husayn menunjuk ke arah objek hitam yang dilihatnya.
“Mana? Mana?” Beduk Logam tercari-cari. Anak muda berkulit hitam manis dan berambut lurus itu, sedikit rabun. Namun masih enggan menggunakan kaca mata.
“Nun sana!” Jerit Guhaguha sambil menunjuk ke arah objek berkenaan. “Jom ke sana cepat!” Ajaknya terlalu teruja. Tahi lalat di atas bibir menyerlahkan lagi senyuman dan tawanya.
“Tunggu! Jangan gopoh-gapah. Mana tahu ada makhluk asing dekat situ.” Ibnu Husayn menahan. Anak muda kacak berkulit cerah ini berkarisma. Tidak mudah dipengaruhi dan tidak mudah putus asa. “Mari kita tengok dekat sikit.”
Kumpulan Malay Bond terhendap-hendap ketika mendekati ke arah objek. Semakin menghampiri, semakin seram sejuk tubuh mereka bertiga. Objek yang dilihat berbentuk bujur tersadai di atas tanah. Bahagian belakang objek berbentuk bujur itu sudah ditimbuni oleh dahan-dahan patah.
“Betul kata awak, Ibnu. Saya rasa itu memang kapal angkasa makhluk asing.” Ujar Beduk Logam setelah mengamati bentuk objek berkenaan dengan teliti.
“Mana awak tahu?” Guhaguha menyoal sambil mengerutkan dahi. Matanya dikecilkan, supaya dapat memerhati dengan teliti.
“Marilah kita tengok. Saya rasa, tak sesiapa pun tahu kewujudan kapal angkasa ni.” Ibnu Husayn mengajak. Dia mendahului langkah. Dia amat pasti, tidak ada sesiapa pun mengetahui kerana di sepanjang pencarian mereka tidak bertemu sesiapa.
Sejurus mereka mendekati, tiba-tiba pintu terbuka. Ibnu Husayn terkejut lalu melompat ke belakang. Seekor kucing hitam keluar dan mengiau-ngiau.
“Kucing rupanya.” Ibnu Husayn mengurut dada lega lalu menghampiri semula. Ibnu Husayn mengintai ke dalam. “Beduk Logam! Guhaguha! Apa lagi, marilah kita masuk. Tak ada apa-apa pun dalamnya. Marilah!” Ibnu Husayn terus masuk kemudian diikuti oleh Beduk Logam dan Guhaguha.
Pintu tertutup secara automatik sejurus ketiga-tiga mereka masuk ke dalam. Kedengaran enjin dihidupkan dan objek ternaik ke atas dengan lajunya. Ketiga-ketiga mereka menjerit cuba meminta pertolongan. Berusaha keras mereka mencuba untuk membuka pintu, ternyata hampa. Segalanya sudah terlewat. Kumpulan Malay Bond telah diterbangkan entah ke mana.

